Wednesday, October 7, 2009

SUATU PENGAJARAN....

Di sebuah desa yang permai,terdapat seorang adik kecil bernama Zurin. Zurin bersekolah dalam tahun 5. Setiap hari Zurin akan pergi sekolah dengan hati yang gembira. Namun Zurin mempunyai tabiat buruk iaitu dia memang suka benar bercakap dan bising di dalam kelas. Dia sering bercakap semasa gurunya sedang mengajar. Tabiat buruknya ini sukar diubah. Suatu hari, semasa gurunya sedang menerangkan sesuatu, Zurin berbual-bual dengan temannya dengan suara yang kuat dan tiada perasaan takut dalam dirinya . Gurunya naik marah lalu mendendanya berdiri di atas bangku. Zurin berasa sangat malu kerana didenda oleh guru dan mukanya menjadi merah padam.
Sewaktu pulang dari sekolah ,Zurin diam sahaja. Dia sangat marah pada gurunya.Teman-temannya cuba memujuk tetapi Zurin tidak menghiraukannya. Dia mahu segera pulang ke rumahnya yang jauh itu. Zurin melalui jalan yang lurus agar cepat sampai ke rumah.Setelah tiba di rumah, dia melihat ibunya sedang berbual-bual dengan jirannya. Zurin menyampuk perbualan ibunya dan ingin mengadu dan menceritakan kepada ibunya tentang perkara yang berlaku di sekolah tadi.Ibunya memarahinya kerana menyampuk perbualannya. Zurin merajuk lalu berlari masuk ke bilik. Dia menangis terisak-isak kerana berasa sangat sedih.
Pada sebelah malam,Zurin tidak boleh tidur kerana mengingatkan perkara yang berlaku siang tadi. Dia sungguh sedih lalu menangis lagi."Semua orang tak sukakan aku. Di sekolah, aku didenda guru. Di rumah pula aku dimarah ibu," katanya sambil tersedu-sedu. Mulai saat ini aku tak mau bercakap lagi, katanya di dalam hati sambil memegang cermin yang bulat itu. Esok pagi Zurin bersiap-siap hendak ke sekolah. Ibunya bertanya Zurin mahu sarapankah? Ibunya telah menyediakan sarapan pulut manis dan juga kopi panas. Zurin tidak menjawab tetapi hanya menunjuk ke arah roti tawar sahaja. Selepas bersarapan dia pun ke sekolah dengan memakai pakaian yang kemas.Di dalam kelas , Zurin diam sahaja, tidak berkata sepatah pun. Apabila gurunya bertanyakan sesuatu , Zurin hanya tunduk melihat kasutnya yang berwarna putih itu. Zurin berkelakuan begini hingga beberapa hari.
Apabila tiba hari Sabtu, Zurin pun ke kebun buah-buahan di belakang rumahnya. Dia terpandang pokok jambu yang berbuah lebat itu. Dia pun memanjat pokok itu dan Zurin nyaris terjatuh. Namun dia masih berani dan terus memanjat tinggi sedikit dan tiba-tiba dia terjatuh. Dia cuba menjerit memanggil ibunya, tetapi tiada suara yang keluar dari mulutnya. Ibunya membuka tingkap bilik dan alangkah terperanjatnya dia apabila terpandang Zurin yang jatuh terbaring .
Air mata mengalir di pipinya tanpa suara. Kasihan Zurin, dia rupa-rupanya bisu. Ibunya berkata, "Sudahlah sayang, jangan menangis lagi, mari ibu balut luka di kakimu , nanti besar pulak luka itu".Zurin sangat menyesal dengan apa yang telah dilakukannya. Dia sebenarnya berpura-pura bisu. Tetapi sekarang, dia benar-benar bisu.Sejak hari itu Zurin tidak berhenti-henti menangis tanpa suara. Dia benar-benar menyesal terhadap dirinya. "Ibu, cikgu...maafkan aku," katanya di dalam hati.




Nama : ______________________ Tahun : __________________ Tarikh : _______________


Bina ayat daripada kata adjektif di bawah:

1. Segera

_______________________________________________________________

2. Berani

_______________________________________________________________

3. Nyaris

_______________________________________________________________

4. Merah

_______________________________________________________________

5. Sedih

_______________________________________________________________

Monday, October 5, 2009

Kata Adjektif

  • Kata Adjektif, juga dikenali sebagai kata sifat, ialah kata yang menjadi inti dalam frasa adjektif seperti manis sekali, sudah lama sungguh, masih lebat lagi.
  • Kata-kata dalam golongan kata adjektif menerangkan keadaan atau sifat sesuatu nama atau frasa nama. Kata adjektif boleh dikenali jika kata berkenaan didahului oleh kata penguat seperti amat, sangat, sungguh, sekali, paling, agak, benar

Jenis-jenis kata adjektif
Kata adjektif terbahagi kepada 9 subgolongan:
1.Kata Adjektif sifat/keadaan
menerangkan sifat keadaan atau seseorang
contoh: baik, cerdik, berani, lemah, kukuh, kemas, kejap, secantik, terkuat
Contoh ayat;
1.Penghulu yang baik hati itu sangat dihormati oleh penduduk kampung.
2.Semua murid berdiri tegak semasa lagu “Negaraku” dimainkan.
3.Kerja yang dilakukan secara gopoh tidak akan sempurna jadinya.

2. Kata Adjektif Warna
Contoh : Biru, putih, hitam,ungu,perang,jingga.
Contoh ayat;
1.Karangan itu hendaklah ditulis pada kertas putih.
2.Beg tangan hitam yang dipakainya itu dibuat daripada kulit buaya.
3.Semua peserta kem motivasi itu memakai pakaian seragam berwarna biru.

3. Kata Adjektif Bentuk
Contoh : Bujur, buncit, lurus, bengkok, lekuk, lonjong
Contoh ayat;
1.Meja makan itu berbentuk empat segi bujur.
2.Perut Hasan semakin buncit kerana sudah lama tidak bersenam.
3.Lukis garis lurus untuk menyambung kedua – dua titik itu.

4.Kata Adjektif Perasaan
Contoh:Kecewa, rindu, segan, gembira, ragu, sayang
Contoh ayat;
1.Encik Lim sangat kecewa dengan keputusan UPSR anaknya.
2.Dia rindu akan anaknya yang sedang belajar di luar negara.
3.Orang itu sesat jalan kerana segan hendak bertanya.

5.Kata Adjektif Ukuran
Contoh : Kecil, panjang, tebal, kerdil, tinggi, rendah.
Contoh ayat;
1.Rumah kecil di hujung sawah itu kepunyaan Pak Leman.
2.Dia menjolok buah itu dengan galah panjang.
3.Kamus Dewan ialah kamus yang tebal.

6. Kata Adjektif Jarak
Contoh : Jauh, hampir, dekat, nyaris, rapat
Contoh ayat:
1.Sekolahnya terletak sangat jauh dari rumahnya.
2.Rumah yang hampir sekali dengan masjid ialah rumah Ali.
3.Tempat kemalangan itu dekat dengan sekolah saya.

7.Kata Adjektif Cara
contoh : Deras, laju, segera, sering, lincah, perlahan
Contoh ayat;
1.Pengaliran air itu sangat deras selepas hujan lebat.
2.Bot laju itu direka khas untuk pertandingan.
3.Tindakan yang segera daripada pihak berkuasa amatlah diharapkan.

8. Kata Adjektif Pancaindera
contoh : Pahit, manis, busuk, pedas, merdu, payau
Contoh ayat;
1.Sabrina tidak mahu makan ubat batuk yang pahit itu.
2.Wajah manis gadis itu sungguh menawan hati.
3.Bau busuk dari kilang itu mengganggu penduduk kampung.

9. Kata Adjektif Waktu
Contoh : Baru, lama, segera, silam, lambat, cepat
Contoh ayat;
1.Mereka memakai baju baru ke majlis hari jadi itu.
2.Encik Murad suka mendengar lagu – lagu lama nyanyian P.Ramlee.
3.Di bandar itu terdapat banyak restoran yang menjual makanan segera.